Posting kali ini merupakan posting terakhir di blog kepunyaan Ustaz Awang Pon Awang Sebon. Dan ia bukannya ditulis olehnya, tetapi ditulis oleh anakandanya Zaim dengan berat hati.
Di hujung bulan Mei 2009, Ustaz Awang Pon telah didiagnos dengan penyakit kanser hati. Penyakit tersebut dengan begitu cepat melemahkan beliau. Pada jam 3.30 ptg 17 hb Julai 2009, beliau telah dikeluarkan dari Hospital Selayang dan dibawa pulang ke rumah anaknya, Syifa di Kota Kemuning. Allahyarham telah menghembuskan nafas terakhirnya di rumah tersebut tidak lama kemudian dikelilingi keluarga, sesuai dengan permintaan terakhirnya untuk dibawa pulang ke sana. Urusan pengkebumian allahyarham diselesaikan pada keesokan paginya.
Segalanya sudah tertulis lauh mahfuz. Yang penting, kehidupannya telah menyentuh ramai indidividu. Ramai dari mereka yang mengenali antara satu sama lain tapi lebih ramai lagi yang tidak. Walaupun allahyarham pergi dan dikebumikan jauh dari kampung halaman, masih tetap ramai yang menziarahi di hari tersebut dan seterusnya. Ada yang mengenalkan diri sebagai anak muridnya dan tidak kurang rakannya. Sebagai seorang anak, saya membesar dengan melihat jerih perihnya sebagai guru, pendakwah, pegawai kerajaan (setiausaha Majlis Islam Sarawak), Ketua Hakim Syarie dan pelbagai kapasitinya dalam khidmat msyarakat tanpa mengenal penat lelah dan waktu pejabat. Sesekali saya teringat usahanya mengasakan rumah anak yatim pertama di Sarawak dan lain-lain amal jariahnya. Antara banyak sifat mahmudahnya, bagi saya dua yang paling menonjol ialah dia tidak pernah berbangga-bangga atau menonjolkan dirinya dan allahyarham tidak pernah bermusuh dengan sesiapa pun.
Sebagai seorang ayah, allahyarham seorang yang tegas dan mahukan anak-anaknya selamat dunia dan akhirat. Keperihatinannya tetap tinggi walaupun anak-anaknya sudah dewasa.
Pada malam terakhirnya, saya difahamkan allhyarham tidak melelapkan mata. Sesekali dia berzikir dan beristighfar. Pada masa saya menjaganya, sekali dua saya mengingatkannya dengan zikir tertentu, khususnya istighfar. Kebiasaannya dia akan mengikut.
Sebelum dan selepas dibawa pulang ke rumah buat kali terakhir, allahyarham tidak boleh bercakap lagi. Tekanan darahnya teralu rendah sehingga tidak dapat dibaca oleh jururawat. Walaubagaimanapun allahyarham masih sedar dan faham apa yang berlaku di sekeliling. Saya mengajarnya kalimah tauhid dekat dengan telinganya, saya yakin dia mengikutnya, walaupun di dalam hati. Semoga itulah ibadatnya yang terakhir dan dia pergi dengan husnul khatimah.
Semoga semua yang mengenali allahyarham menjadi saksi bahwa allahyarham beramal saleh dan mendoakan keampunan baginya dan roh allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah s.w.t. Amin.
Semoga Allah merahmatinya dan membalas segala baktinya dengan kebaikan yang berkekalan….
salam takziah…moga roh allahyarham tenang….
Semoga roh beliau di cucuri rahmat. Al-fatihah untuk beliau
Assalamualaikum Zaim,
Pastinya ABIM kehilangan seorang tokoh,mujahid dakwah par excellence. Payah untuk mencari penggantinya.
Arwah seorang yang komited dengan perjuangan dakwahnya.Usia tidak pernah menjadi alasan untuk beliau berada dipinggiran lapangan dakwah.Malah beliau semakin bersemangat,seolah-olah beliau mengejar masa yang berbaki.
Setiap kali saya ke Sarawak, saya tidak akan pulang selagi belum bertemu dengannya. Banyak buah fikirannya hasil pengalaman yang banyak yang boleh dimenafaatkan.Rumahnya begitu sederhana sekali berbanding pesara kerajaan yang setaraf dengannya.
Saudara Zaim mewarisi sebuah legasi perjuangan ayahanda yang suci.
Paling kurang yang boleh dibuat ialah membukukan nukilannya didalam blog ini. Banyak buah fikirannya yang sangat penting untuk dimenafaatkan oleh generasi pendakwah mendatang.
Saya boleh membantu,insyaALlah.
Salam sdr Zaim dan keluarga,
Takziah atas kepergian Allahyarham. Saya doakan akan roh allahyarham ditempatkan bersama-sama mereka yang mendapat keredhaan Allah jua.