Habit Suka Berhutang:
Jawapan keatas pertanyaan Dd melalui emailnya
Sikap empati anda terhadap kawan anda itu wajar dipuji. Dalam Islam kita disuruh membantu orang yang dalam kesusahan. Firman Allah yang bermaksud”Dan tulong menulonglah kamu dalam mengerjakan kebajikan dan takwa dan jangan tulong menulong dalam berbuat dosa dan pelanggaran” (S:al-Maaidah:5:2).
(1) Sabda Rasul yang mafhumnya”Di antara perkara yang memestikan dapat keampunan dari Allah ialah engkau memasukkan kegembiraan ke dalam hati saudaramu yang muslim(H.T. at-Thabrani)
2. Sabda Rasul yang bermaksud.” Orang yang paling dikasihi Allah ialah orang yang paling berguna kepada orang ramai dan amalan yang paling disukai Allah ialah kegembiraan yang kau masukkan kedalam hati kepada Muslim, kau melepaskannya dari kesusahan, kau tunaikan(bayar) hutangnya atau kau usir kelaparannya. Sesungguhnya jika aku berjalan bersama seorang saudara dalam usaha menyempurnakan(makanan) keperluannya itu lebih baik aku sukai dari beriktikaf dalam masjid.
Namun demikian sikap berhati-hati juga perlu kerana ada orang yang senghaja mengambil kesempatan dari sifat sangka baik dan ambil berat kita terhadapnya. Lebih-lebih lagi kawan anda itu di mana berhutang baginya sudah menjadi amalannya biarpun alasannya itu sukar untuk diterima. Rasulullah s.a.w. berdoa agar dijauhkan dari belenggu hutang. Sebagaimana doa’ Rasulullah saw yang mafhumnya “Aku berlindung daripada belenggu hutang”.
Tak kanlah selalu kehilangan wang menjadi sebab dia selalu berhutang. Berhutang dalam Islam tidak boleh menjadi amalan kecuali kerana keadaan terdesak yang tidak boleh dielakkan. Sekiranya seorang itu benar-benar dalam kusulitan kewangan , pihak Baitulmal akan bersedia membantu jika sebab-sebab yang munasabah malah sebahagian daripada kutipan zakat fitrah wajib diberi kepada mereka yang berhutang kerana kepentingan agama. Janganlah alasan kecurian menjadi sebab untuk berhutang. Firman Allah “ Sesungguhnya zakat zakat itu hanyalah untuk orang-orang fakir, orang-orang miskin, amil-amil, para muallaf yang dibujuk hatinya, untuk memerdekakan budak(hamba) orang-orang yang berhutang untuk jalan Allah……” (S:at-Taubah:9:60) .
Yang menjadi kemusykilan saya bagaimana kawan anda ini suka berhutang dengan alasan barangnya selalu dicuri orang.Apakah dia tidak memaklomkan perkara yang terjadi ini kepada orang tuanya atau sudah dimaklomkannya tetapi ternyata orang tua nya tidak mampu membantunya kerana kemiskinan. Kalau betul kawan anda itu orang yang susah elok anda berbincang dengannya dan juga dengan pihak-pihak yang tertentu untuk sama-sama menyelsaikan kesempitan hidupnya dan juga kepada pihak warden tentang musibah yang sering menimpanya. Saya rasa kalau benar ia seorang
pelajar yang miskin tetapi prestasi pelajarannya baik saya kira ada jalan keluarnya. Jangan anda sendirian menyelsaikan masalahnya. Bincangkan dengan pihak-pihak yang lain dan pihak yang berwajib agar dapat merungkai kesulitan yang dihadapinya.
Dalam Islam, orang yang berhutang tetapi senghaja tidak menjelaskannya, ia tidak akan terlepas daripada menanggung beban hutang sekalipun selepas meninggal dunia Sebab itu bila seorang hamba meninggal dunia di antara perkara yang perlu diselesaikan lebih awal ialah hutang piutangnya. Rasulullah s.a.w mencela orang yang berhutang tetapi senghaja tidak mahu membayar hutang dan berhutang kerana mengikut hawa nafsu.
Dalam sebuah hadis, roh orang yang mati dikatakan tidak akan naik ke langit melainkan selepas hutangnya selesai. Menunda-nunda menjelaskannya padahal mampu menjelaskannya termasuk perbuatan yang zalim. Dan jika ditunda-tunda pembayaran hutang, pada hal ia mampu membayarnya maka bertambah satu dosa baginya setiap hari. Rasulullah s.a.w. bersabda” Barangsiapa(yang berhutang) di dalam hatinya tidak ada niat untuk membayar hutangnya, maka pahala kebaikannya akan dialihkan kepada yang memberi hutang. Jika masih belum terpenuhi, maka dosa-dosa yang memberi hutang akan dialihkan kepada orang-orang yang berhutang” (HR.Baihaqi)
Kesimpulannya anda hendaklah menyelidiki sebab dan punca sebenarnya kawan anda berhutang. Kalau benar kawan anda itu bermasalah memang wajarlah anda membantunya. Namun demikian perkara ini sepatutnya tidak menjadi bebanan pada anda sepanjang masa. Anda harus berkongsi masalah ini seperti yang saya nyatakan diatas dengan kawan- kawan anda dan dengan pihak pihak yang lain agar problemnya dapat di selesaikan. Berhutang hanya boleh menyelsaikan masalah buat seketika tetapi jangka panjangnya ialah dengan mencari puncanya,kemudian coba menyelsaikannya.
Kepada mereka yang belom terlibat dengan hutang, elakkan diri anda dari suka berhutang kecuali kerana sebab-sebab yang sangat mendesak. Lebih-lebih lagi buat masa sekarang,pintu berhutang dibuka seluas-luasnya untuk siapa sahaja yang mahu,tanpa wang pendahuluan dan cagaran anda dengan mudah memiliki sesuatu yang anda sukai.
Akibat dari suka berhutang akan menghilangkan kepercayaan orang terhadap diri anda. Anda akan menyisihkan diri dari orang ramai bimbang terserempak dengan orang yang memberi hutang. Anda akan berterusan dengan sikap bohong anda dengan berbagai-bagai alasan untuk berhutang,malah tidak mustahil anda akan terjebak lebih jauh lagi dalam kencah jenayah seperti mencuri,rasuah dan seumpamanya untuk melensaikan hutang. Juga ia membahayakan keselamatan diri anda jika anda berhutang dengan AhLong tetapi gagal melunaskannya dalam masa yang telah ditetapkan.
Berhutang akan mencabutkan kemerdekaan diri anda kerana dibelenggukan oleh hutang yang malilit pinggang. Keadaan yang sama juga akan berlaku kepada sesebuah negara yang banyak berhutang di mana akhirnya ia tidak bebas untuk menentukan hala tuju negara. Wallahu aklam.
Shah Alam,3 May Jam:2.30 ptg.
Leave a comment